Indonesia Gergasi Yang Sedang Tidur, Atau Sekadar Sang Garuda Dengan Penyokong Mentaliti Sama?

Lupakan perseteruan bola sepak di negara-negara lain buat seketika.

Perseteruan yang akan berlangsung pada malam ini adalah lebih daripada perseteruan derbi London, yang mempertemukan Arsenal dan Tottenham Hotspur ataupun derbi Della Capitale diantara Lazio dan Roma pada hujung minggu baru-baru ini.

Jika aspek perseteruan yang dilihat sebagai rencah pemanas perlawanan, maka kompas bola sepak dunia akan ke Asia Tenggara sebagai kutub utama medan untuk perlawanan diantara Indonesia dan juga Malaysia.


Kerana itu tidak hairanlah mengapa perseteruan Indonesia-Malaysia menarik perhatian media antarabangsa seperti The Guardian. Namun sebelum itu, sebaiknya semua pihak perlu mengetahui serba sedikit apakah makna di sebalik perseteruan diantara kedua-dua negara.

Konfrontasi Indonesia-Malaysia
Di atas kertas, Indonesia dan Malaysia adalah dua buah negara yang memiliki dan berkongsi banyak persamaan. Kerana itulah bangsa Indonesia dan Malaysia digelar serumpun – kerana salasilah dan asal usul keturunan yang sama dari gugusan kepulauan melayu.

Sedangkan lidah lagi tergigit, apatah lagi dua negara berbeza walaupun mempunyai persamaan dari pelbagai segi seperti budaya, bahasa dan agama.

Perseteruan Indonesia-Malaysia dilaporkan bermula pada awal 1960 an pada ketika pembentukan Persekutuan Malaysia.

Konfrontasi Indonesia-Malaysia ialah sebuah konflik geopolitik akibat daripada pembangkangan politik dan tentera Indonesia kepada pembentukan Malaysia atau penyatuan Persekutuan Tanah Melayu (kini Malaysia Barat) dengan tanah jajahan British di Sabah dan Sarawak (secara kolektif dikenali sebagai British Borneo, Malaysia Timur) pada bulan September 1963.

Walaupun pada mulanya bersetuju, sikap Indonesia telah bertukar dan berusaha menentang keras penubuhan negara Malaysia daripada menjadi sebuah negara yang bebas.

Kehadiran askar Australia ketika Konfrontasi Indonesia-Malaysia.

Presiden Sukarno ternyata mempunyai ego yang kuat sehingga sanggup menghina dan mengutuk Malaysia secara terus menerus dalam Sidang Kemuncak yang diadakan di Manila.

Selain daripada kritikan yang keras, beliau juga bertindak memutuskan hubungan politik, ekonomi dan sosial dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Dalam usaha Sukarno yang menentang penubuhan negara Malaysia, beliau juga telah memulaukan Laporan Suruhanjaya Cobbold yang ditugaskan pada tahun 1962 yang bertujuan untuk meninjau pandangan rakyat Sabah dan Sarawak terhadap penubuhan Malaysia.

Ganyang Malaysia
Sukarno telah melancarkan kempen ‘Ganyang Malaysia’ pada awal 1963. Konfrontasi Sukarno telah berubah daripada sekadar perang kata-kata menjadi konfrontasi ketenteraan.

Hal ini berlaku selepas Suruhanjaya khusus PBB yang dibentuk untuk mengumpul pendapat rakyat setempat tentang pembentukan Malaysia. Sukarno menjadi semakin tersinggung apabila Tunku mengumumkan terbentuknya Malaysia sebelum PBB itu mengumumkan hasil siasatannya.

Presiden Sukarno dalam ucapan di Jakarta.

Pada 12 April 1963, sukarelawan perang dan para gerila Indonesia mula bertindak menyelinap masuk ke dalam sempadan Malaysia. Ketika ini, penyelinapan dan pencerobohan masuk mula dengan menyerang Balai Polis Tebedu di Sarawak, yang terletak kira-kira 5 kilometer daripada sempadan Indonesia.

Tugas menyusup ke Malaysia diletakkan di bawah bahu Mejar Benny Moerdani. Namun begitu serangan tersebut berjaya dipatahkan oleh Rejimen Askar Melayu Diraja Malaya dan Askar Gurkha. Demikianlah sedikit sebanyak sejarah kedua-dua negara.

Pertembungan budaya dan bola sepak
Malaysia v Indonesia: Perlawanan Penuh Jiwa Disebalik Perlindungan Kereta Perisai. Demikianlah tajuk artikel media yang berpengkalan di United Kingdom, The Guardian tulisan John Duerden.

Bagi John Duerden yang sememangnya mengikuti perkembangan bola sepak di Asia dan rantau ini, perseteruan bola sepak diantaran Indonesia dan Malaysia sudah tidak perlu diperincikan lagi.


“Dua negara Asia Tenggara ini mempunyai banyak pertembungan budaya sehingga membawa kepada perdebatan kepada siapakah yang mencipta batik, wayang kulit, dan rendang. Apa yang menyatukan rakyat kedua-dua negara adalah bola sepak,” tulis Duerden dalam artikel tersebut.

Apa yang dikatakan oleh Duerden dalam ayat terakhir itu adalah benar, namun harus dibaca secara harfiah. Hakikatnya kerana cintakan bola sepak, kedua-dua negara juga bersaing untuk menjadi labih baik dari satu sama lain sehingga menimbulkan perseteruan.


Kejohanan Piala AFF B-18 pada tahun lalu juga sepatutnya menjadi ikhtibar. Ia juga bukan satu-satunya insiden melibatkan penyokong Indonesia, setiap kali perlawanan menentang Malaysia.


Acap kali, perseteruan sedemikian berlarutan kepada penghinaan. Semangat kesukanan yang seharusnya dipupuk di kalangan negara serumpun juga kebiasaannya hilang.

Artikel Duerden turut memetik bagaimana Stadium Gelora Bung Karno yang bakal dibanjiri lebih 84,000 penyokong Sang Garuda, dan 3,000 penyokong Harimau Malaya yang dikatakan turut akan menyaksikan perlawanan tersebut di sana.
Turut berada di dalam artikel ialah permintaan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mahukan pihak Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) menyediakan kereta perisai sebagai langkah keselamatan dan alternatif mengiringi pemain ke stadium.

Walaupun PSSI kemudiannya menganggap permintaan kem Malaysia itu sebagai salah satu cara perang psikologi, jujurnya tidak ada siapa yang boleh menjangkakan perkara yang mungkin berlaku walaupun dengan jaminan keselamatan telah diberikan oleh pasukan tuan rumah.

Penutup
Bukanlah mahu menyangkal John Duerden. Namun sepertimana yang ditulis oleh beliau, Indonesia ibarat ‘gergasi yang sedang tidur’ di dalam dunua bola sepak. Itu adalah berdasarkan kesungguhan yang dimiliki oleh penyokong bola sepak Sang Garuda.
Pada pandangan penulis sendiri pula, gergasi atau tidak, konsep bola sepak sebagai pengikat ukhwah terlebih dahulu perlu diutamakan.
Mungkin selepas itu, Indonesia selayaknya digelar gergasi bola sepak Asia dan dunia satu hari nanti – iaitu apabila mentaliti turut berubah. Sehingga itu, kita doakan perlawanan pada malam ini berlangsung dengan adil, tanpa sebarang provokasi melampau, dan juga insiden yang tidak diingini.

Nota editor: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili Semuanya BOLA sebagai sebuah organisasi.

ARTIKEL DARIPADA: SEMUANYABOLA

©LIGAKITA PLT 2019     Privacy Policy | FB | IG | ligakitamy@gmail.com | GUIDE